Lebih Sedekad Menentang Arus: Kisah KOLBENFAUST Yang Jarang Diceritakan
KOLBENFAUST https://linktr.ee/kolbenfaust
&---------------------------&
1. Perkenalkan diri dan cerita sedikit sejarah anda bersama band Kolbenfaust. Kenapa namanya Kolbenfaust?
Saya Jay Adam, salah seorang pengasas dan pemain gitar Kolbenfaust.
Bersama saya untuk interview ini adalah Dingkle Nawas & juga Kasmady Adzren yang merangkumi vokalis & pemain drum dan juga diantara lineup paling kekal Kolbenfaust.
Band ini ditubuhkan sekitar tahun 2010 oleh sekumpulan kawan yang berkongsi minat terhadap muzik metal ekstrem. Ironinya, Kolbenfaust lahir di Petaling Jaya walaupun hampir kesemua kami berasal dari Kuching, Sarawak.
Nama "Kolbenfaust" berasal daripada bahasa Jerman yang secara kasar boleh diterjemahkan sebagai "Piston Fist". Kami memilih nama itu kerana bunyinya keras, mekanikal dan agresif, sesuai dengan identiti muzik yang kami mahu bina ketika itu. Ia melambangkan kekuatan, ketepatan dan tenaga yang sentiasa bergerak ke hadapan.
2. Kolbenfaust sudah melalui lebih sedekad perjalanan. Jika melihat kembali kepada tahun penubuhan dahulu, apakah visi asal band ini, dan sejauh mana visi tersebut masih kekal sehingga hari ini?
Visi asal kami agak mudah. Kami mahu menghasilkan muzik metal yang kami sendiri mahu dengar. Pada masa itu, kami melihat tidak banyak band tempatan yang menggabungkan elemen technical death metal, melodic death metal, Nu metal dan progressive metal dengan cara yang kami bayangkan.
Walaupun banyak perkara telah berubah sepanjang perjalanan ini, visi teras itu masih kekal. Kami masih mahu mencabar diri sebagai pemuzik, menghasilkan karya yang jujur dan terus berkembang tanpa terlalu terikat kepada trend semasa.
3. Muzik Kolbenfaust sering dikaitkan dengan melodic, technical dan progressive death metal. Bagaimana identiti muzik itu terbentuk?
Kami semua datang daripada latar belakang pendengaran yang berbeza. Ada yang membesar dengan death metal klasik, ada yang banyak dipengaruhi oleh metal progresif, metalcore, Nu metal, grunge malah muzik elektronik dan soundtrack filem.
Apabila semua pengaruh itu bercampur dalam bilik latihan, lahirlah bunyi yang akhirnya menjadi identiti Kolbenfaust. Kami suka riff yang kompleks tetapi masih mempunyai melodi yang kuat. Kami mahu lagu-lagu kami mencabar dari sudut teknikal tetapi masih mempunyai emosi dan suasana yang boleh dirasai oleh pendengar.
4. Bagaimanakah evolusi muzik Kolbenfaust dapat dilihat daripada demo awal sehingga karya-karya terkini?
Demo awal kami lebih mentah dan agresif. Fokusnya banyak kepada kelajuan dan teknikaliti. Seiring masa, kami mula memberi perhatian kepada penulisan lagu secara keseluruhan, bukan sekadar menunjukkan kemahiran bermain.
Karya-karya yang lebih baharu mempunyai struktur yang lebih matang, penggunaan melodi
yang lebih luas dan eksplorasi bunyi yang lebih berani. Kami tidak lagi melihat genre
sebagai sempadan yang ketat tetapi sebagai alat untuk menyampaikan idea dan emosi.
5. Kolbenfaust pernah berkongsi pentas dengan beberapa nama besar antarabangsa.
Apakah pengalaman yang paling banyak mengubah perspektif anda?
Salah satu perkara yang paling membuka mata ialah melihat bagaimana band-band besar
menguruskan keseluruhan operasi mereka. Ramai orang melihat persembahan di atas
pentas, tetapi di belakang tabir terdapat disiplin, persediaan dan profesionalisme yang
sangat tinggi.
Kami belajar bahawa kejayaan bukan hanya tentang bakat. Ia juga melibatkan pengurusan
masa, komunikasi, konsistensi dan sikap terhadap peminat, penganjur dan kru teknikal.
6. Pemergian Greg Bajien merupakan satu kehilangan besar kepada Kolbenfaust.
Bagaimanakah peristiwa tersebut memberi kesan kepada band?
Arwah Greg bukan sekadar ahli band. Beliau adalah sahabat, saudara dan sebahagian
daripada identiti Kolbenfaust.
Apa yang menjadikan pemergiannya lebih sukar diterima ialah beliau sebenarnya individu
yang paling kuat mendorong agar Kolbenfaust bersatu semula selepas semua ahli kembali
menetap di Kuching. Ketika ramai antara kami sibuk dengan komitmen hidup
masing-masing, Greg adalah antara orang yang sentiasa percaya bahawa perjalanan
Kolbenfaust masih belum selesai.
Malangnya, tidak lama selepas menyatakan hasrat tersebut, Greg telah pergi meninggalkan
kami.
Kehilangannya memberi kesan yang sangat mendalam, bukan sahaja dari sudut muzik
tetapi juga hubungan persahabatan yang telah dibina selama bertahun-tahun. Untuk satu
tempoh, kami terpaksa menilai semula arah tuju dan masa depan band. Namun akhirnya
kami sedar bahawa salah satu cara terbaik untuk menghormati Greg adalah dengan
meneruskan apa yang beliau mahu lihat berlaku, iaitu Kolbenfaust terus hidup, terus
berkarya dan terus bergerak ke hadapan.
Setiap kali kami naik ke pentas atau menghasilkan muzik baharu, ada sebahagian daripada
semangat Greg yang masih bersama kami. Dalam banyak cara, perjalanan Kolbenfaust hari
ini juga merupakan sebahagian daripada legasi yang beliau tinggalkan.
7. Apakah cabaran terbesar yang pernah dihadapi Kolbenfaust sebagai sebuah band
Malaysia yang memainkan muzik ekstrem?
Cabaran terbesar mungkin adalah keseimbangan antara komitmen hidup dan komitmen
terhadap band. Kebanyakan kami mempunyai kerjaya, keluarga dan tanggungjawab
masing-masing, jadi masa dan tenaga untuk Kolbenfaust sentiasa perlu dibahagikan dengan teliti.
Selain itu, muzik ekstrem sendiri masih merupakan niche yang kecil di Malaysia. Pada masa yang sama, ketika kami beroperasi sebagai sebuah band “outsider” dari Sarawak dan berada di Semenanjung, cabaran itu menjadi lebih ketara. Kami tidak mempunyai rangkaian yang luas, tidak mengenali ramai orang dalam scene, dan pada banyak masa, ia terasa seperti kami perlu bekerja dua kali lebih keras hanya untuk diberi peluang yang sama.
Ada ketika, rasa seperti tidak semua pihak benar-benar terbuka untuk menerima kami. Tetapi situasi itu juga memaksa kami untuk lebih berdikari, membina hubungan sendiri dan membuktikan diri melalui persembahan dan karya, bukan sekadar nama atau lokasi.
Ironinya, apabila kami kembali ke Sarawak, cabaran itu berubah bentuk. Kadang-kadang kami sendiri rasa seperti “orang luar” di tempat sendiri, sekurang-kurangnya pada awalnya. Namun itu lebih kepada proses penyesuaian semula selepas lama berada di dua dunia yang berbeza.
Hari ini, kami bersyukur kerana pernah berada di kedua-dua scene tersebut. Pengalaman di Semenanjung dan di Sarawak telah membentuk cara kami melihat muzik, komuniti dan ketahanan sebagai sebuah band. Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi ia menjadikan Kolbenfaust lebih matang dan lebih sedar tentang identiti sendiri.
8. Bagaimana Kolbenfaust menyesuaikan diri dengan perubahan landskap muzik hari ini?
Industri muzik hari ini sangat berbeza berbanding ketika kami bermula. Dahulu fokus utama adalah CD fizikal dan gig. Hari ini, penstriman digital dan media sosial memainkan peranan yang sangat besar.
Kami cuba menyesuaikan diri dengan menggunakan platform-platform tersebut untuk berhubung dengan peminat di seluruh dunia. Walaupun teknologi berubah, perkara yang tidak berubah ialah kepentingan menghasilkan muzik yang berkualiti dan membina hubungan yang tulen dengan pendengar.
9. Adakah terdapat satu keputusan penting dalam sejarah Kolbenfaust yang akan dilakukan secara berbeza?
Jika diberi peluang untuk mengubah satu perkara dalam sejarah Kolbenfaust, kami rasa kami mungkin akan mengambil pendekatan yang berbeza dari sudut penulisan lagu dan proses rakaman sejak awal lagi.
Ketika Arwah Greg Bajien masih bersama kami, beliau banyak menyumbang kepada identiti muzik Kolbenfaust melalui lagu-lagu yang lebih berat, agresif dan berkelajuan tinggi. Namun pada masa yang sama, Greg juga merupakan seorang yang sangat menggemari muzik dengan elemen elektronik. Selepas pemergiannya, kami mula meneroka dan menggabungkan unsur-unsur elektronik ke dalam beberapa karya baharu sebagai satu
bentuk evolusi muzik yang juga mencerminkan sebahagian daripada minat dan pengaruh beliau.
Apabila melihat ke belakang, mungkin kami sepatutnya lebih berani menerapkan elemen-elemen tersebut lebih awal. Jika pendekatan itu diperkenalkan 10 atau 15 tahun lalu, kemungkinan persepsi pendengar terhadap perkembangan muzik Kolbenfaust hari ini juga akan berbeza kerana evolusinya berlaku secara lebih berperingkat dan organik.
Selain itu, kami juga merasakan bahawa kami boleh mengambil proses rakaman dengan lebih serius sejak awal penubuhan band. Ketika itu, fokus kami lebih tertumpu kepada persembahan langsung dan penulisan lagu. Hari ini, kami lebih memberi perhatian kepada aspek produksi, kualiti rakaman, susunan lagu dan perancangan jangka panjang bagi setiap rilisan. Jika pendekatan yang kami gunakan sekarang diamalkan lebih awal, mungkin lebih banyak karya Kolbenfaust dapat didokumentasikan dan dipersembahkan kepada pendengar dalam bentuk yang benar-benar menggambarkan potensi sebenar band ini.
10. Jika diminta memilih satu lagu yang paling mewakili identiti sebenar Kolbenfaust, lagu manakah yang akan dipilih?
Satu lagu yang kami rasa secara peribadi paling mewakili identiti sebenar Kolbenfaust ialah “Cycle of Perpetual Suffering (C.O.P.S)”.
Lagu ini merangkumi pelbagai nuansa melodi dan perubahan rentak yang mencerminkan pengaruh muzik berbeza dalam kalangan ahli Kolbenfaust, semuanya disatukan dalam satu struktur yang sama. Di dalamnya ada elemen hardcore, djent, death metal dan grindcore, seolah-olah setiap genre itu bertembung dan kemudian dipaksa untuk hidup bersama dalam satu ruang yang sama. Pure Chaos.
Apa yang menjadikan lagu ini signifikan ialah ia tidak cuba “menjinakkan” perbezaan tersebut. Sebaliknya, ia merangkul kekacauan itu dan menjadikannya identiti. Dalam banyak cara, ia adalah gambaran paling jujur tentang Kolbenfaust, sebuah gabungan disiplin, pengaruh dan tenaga yang bertembung tetapi tetap bergerak sebagai satu entiti.
11. Apabila orang bercakap tentang Kolbenfaust dua puluh tahun dari sekarang, apakah legasi yang anda harapkan akan terus diingati?
Kasmady:
Dua puluh tahun dari sekarang, saya berharap muzik Kolbenfaust akan menjadi sebahagian daripada jalur fabrik sejarah scena metal Malaysia. Kami sentiasa cuba membentuk identiti kami sendiri dengan menggabungkan pelbagai subgenre dan pengaruh muzik yang berbeza menjadi satu sound yang unik.
Dink:
Jika ada satu legasi yang ingin ditinggalkan, saya berharap pendekatan tersebut dapat menjadi sumber inspirasi kepada generasi pemuzik akan datang untuk terus bereksperimen,
menolak sempadan kreativiti dan berani mencipta identiti mereka sendiri tanpa terlalu terikat kepada label atau genre tertentu.
Jay:
Kalau jawapan serius, saya berharap Kolbenfaust akan dikenang sebagai sebuah band yang sentiasa jujur kepada muziknya dan tidak takut untuk berkembang. Kami tidak pernah cuba mengikut trend semasa, sebaliknya sentiasa mencari identiti sendiri walaupun perjalanan itu kadang-kadang lebih sukar.
Kalau jawapan yang lebih jujur pula, saya cuma berharap satu hari nanti cucu saya boleh beritahu kawan-kawan dia, "Atok aku dulu main metal lah!" dan mereka fikir itu perkara paling cool ataupun paling pelik di dunia. Kalau mereka kemudian dengar lagu Kolbenfaust dan suka, itu bonus. 😄
&---------------------------&


Comments
Post a Comment